Tuesday, May 29, 2007

Karier Seni

PENGENALAN

Pada tahun 1990, saya mula serius menggiatkan diri dalam bidang nyanyian sejak berusia 15 tahun, saya mula menyanyi dengan band Pasukan Polis Hutan @ Band Bayangan Hijau di Kulim, Kedah, di bawah pimpinan Encik Samsuddin @ Pakcik Din selama 4 tahun. Semenjak bersama band tersebut, saya banyak membuat pertunjukan pentas seperti di Hari-Hari Perayaan, Sambutan Tahun Baru, Dinner Shows, Pesta Pulau Pinang dan sebagainya. Disamping itu saya juga banyak menyertai pertandingan nyanyian di sekitar Kedah dan P.Pinang. Walaupun saya tidak pernah memenangi mana-mana pertandingan nyanyian tetapi saya selalu layak keperingkat akhir pertandingan.

Setelah tamat persekolahan,1994, saya bersama adiknya, Ida telah ditawarkan bekerja bersama sebuah band yang terdiri daripada pemuzik-pemuzik yang berpengalaman dimana salah seorang anggotanya ialah pakcik saya sendiri. Band tersebut dikenali sebagai The Hot Fehrenheit. Ahli anggotanya terdiri daripada NurKhan( pemain bass) Blacky (lead vokal/guitaris) Manis (pemain drum) diikuti dengan Ida (keyboard/vokal) dan Iyanie (vokal).

Pekerjaan ini memerlukan saya travel dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Saya telah banyak menimba pengalaman bekerja di beberapa tempat seperti di Young Gun Pub & Bistro, Batu Pahat, Johor (Jun ’94), Empire Ballroom Lounge, Sibu, Sarawak (Ogos’94), Hippodrome Discotheque, Pulau Pinang (Okt ’94). Dan kontrak yang terakhir bersama band tersebut ialah di Restoran & Bistro Kolam Air, Ipoh, Perak (Dis’94).

Dan pada tahun 1995, saya tidak lagi bersama kumpulan tersebut, saya telah menyertai beberapa kumpulan lain dan bekerja di tempat seperti The Ship, Penang. Shock Disco, Novotel Hotel, Penang. Dan Butterworth, Penang.Dan Ida pula berkecimpung dalam bidang lakonan dan Penulisan skrip. Dan seterusnya mendirikan rumahtangga dengan Martias Mohd Ali. Dan sehingga sekarang beliau aktif dalam bidang lakonan dan penulisan skrip drama/telefilem. Pada tahun 1996, En. Martias Mohd Ali telah memperkenalkan saya dengan banyak syarikat rakaman. Dan saya akhirnya diterima menjadi artis rakaman oleh syarikat rakaman NAR Records yang terletak di Taman Tun Dr Ismail,Selangor.Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi saya dan kemudian saya kembali semula menyanyi di stage show dan hotel-hotel. Pada tahun 1997-1998 saya menyertai band ‘Bandana Carabiner’. Anggotanya terdiri dari Abang Billy, Kak Jaja, Abang Taib, Abang Gee, Abang Razman dan Jenny. Dan mengikat kontrak di Club Sri Damansara, KL. Auntie Belacan, Crystal Crown Hotel, PJ. Salsa CafĂ©, KL. Dan akhir sekali di Sheraton Beach Resort Langkawi, Kedah.

Menganggotai band trio ‘Jobijoba’ pada April 1999 Trio, yang terdiri dari Abang Nan (keyboardist/vokalis) dan Abang Manaf (guitarist/vokalis) dan membuat persembahan di Awana Genting Highland Resorts, Pahang selama 3 bulan. Semasa membuat persembahan, saya juga banyak menyampaikan lagu dalam pelbagai bahasa seperti bahasa inggeris, cina, hindi, sepanyol, jepun, arab dan tagalog.

Pada hujung tahun 1999 -2000, saya juga turut menyertai kumpulan trio, ‘Aries Band’ yang dianggotai oleh Abang Ari (keyboardist/vokalis) dan Eja (lead vokalis). Dan pernah bekerja di The Connection, Allson Klana Hotel & Resorts, Seremban, Mississippi Gril & Bar (sekarang Zouk Disco) KL.Dan akhir sekali di Concorde Hotel Shah Alam, Selangor.

Pernah bekerja bersama sebuah live band di El Nino Bisto , Kuala Lumpur bersama En. Halil Chik. Halil Chik yang pernah popular era 70’an dahulu telah diiringi dengan pemuzik-pemuzik profesional dan mereka kebanyakannya membawakan muzik berentak Latin. Semasa itu adik saya Adza Rinawati @ Rina. juga bernyanyi bersama band tersebut. Dan persembahan terakhir bersama band tersebut ialah acara Pesta Sambutan Tahun Baru di Sunway Lagoon .

Setelah bertahun-tahun menimba pengalaman bernyanyi dan membuat persembahan, saya dan adik-adik saya mengambil keputusan untuk menubuhkan kumpulan kami sendiri. Masing-masing boleh dikatakan telah pun mempunyai pengalaman sendiri didalam industri muzik tanahair. Pada awal tahun 2000, kami menamakan kumpulan kami D’ADZA kerana setiap nama kami bermula dengan Adza iaitu Adza Adzriyati (sulong), Adza Irdawati (kedua) Adza Tutyrianti (ketiga) dan Adza Rinawati (keempat) . Impian utama kumpulan D’Adza ialah untuk melahirkan sebuah album.

Dalam tempoh yang singkat kami telah berjaya menghasilkan sebuah lagu atau demo bersama seorang komposer yang suka dipanggil dirinya Cikgu. Lagu yang dihasilkan itu diberi judul ‘Ku Rindu’ merupakan lagu ciptaan Cikgu dan lirik oleh Martias Mohd Ali manakala muzik digubah oleh Abang Is Wow . Lagu tersebut berirama pop komersial dan dinyanyikan oleh setiap anggota D’Adza. Rakaman bagi lagu tersebut telah dijalankan di salah sebuah studio di Petaling Jaya. Tetapi nasib tidak menyebelahi kami, belum ada syarikat rakaman yang ingin mengambil kami sebagai artis rakaman, walau bagaimanapun kami tidak berputus asa dan mahu terus mencuba .

Pada tahun 2003, kami semua telah berlakon dalam sebuah vcd arahan dan lakonan Siaful@Apek berjudul ‘OK’. Barisan pelakon terdiri daripada Saiful@Apek, Yassin, Bob KU@, CD, Kumpulan D’Adza dan kartunis-kartunis Ujang. Disamping itu kami juga selalu ditawarkan untuk membuat persembahan pembukaan untuk artis-artis tanahair, dan juga acara-acara lain seperti Dinner Show, Corporate Functions dan sebagainya. Dan kini kami, D’Adza giat mengadakan persembahan di hotel-hotel yang bertaraf antarabangsa .

No comments:

Post a Comment